Thursday, July 29, 2010

Serba - serbi tak kena

Dear Sis,
Saya ada satu masalah ni. Saya tak tahu nak ngadu kat sape. Saya bosan la duk umah. Tiap-tiap hari asyik kene marah je. Buat ini tak kena, buat itu tak kena. Saya diam pun salah, bising pun salah. Tak faham betul la. Mak ngan ayah tu asyik nak marah je. Tak tau ke kite pun letih gak balik skolah pastu kene suruh buat itu dan ini. Lambat buat sket je da marah. Tensen auu..Apa yang saya nak buat sis-sis semua? Rasa nak lari dari umah pun ada argghh..
-Jiwa tertekan-


***************


Salam to adik jiwa tertekan,
Apa khabar sekarang? Terima kasih kerana sudi berkongsi masalah dik di sini. Adik, masalah adik ni bukan adik seorang je yang hadapi. Ramai lagi kawan-kawan adik di luar sana yang mengalaminya. It actually depends on how you perceive it.
Bagi akak, cara yang terbaik dalam menangani isu ini adalah dengan cara, kita berbaik sangka pada mereka. Mungkin mereka amat penat bekerja, atau mungkin mereka ada masalah-masalah lain yang menyebabkan mereka menjadi pemarah.
Akak faham perasaan adik, sebab akak juga pernah melalui proses yang sama. Tapi, pada akak..yang terbaik hanyalah untuk berdiam diri. Tak perlu untuk melawan mereka. Walau macammana marah ataupun stress nya kita dengan mereka, satu perkara yang adik perlu ingat, mereka berdualah orang yang telah membesarkan kita sejak kita lahir. Cuba adik hitung, itupun kalau mampu untuk adik ingat, berapa banyak kali adik merengek, merajuk, menangis, mengamuk sejak adik lahir hingga adik di umur sekarang ni.. tentu tak terkira kan? Namun dalam kita membuat perangai sedemikian, merekalah orang yang telah bersabar melayan kerenah kita dan sedaya upaya memenuhi kehendak kita.
Tidakkah mereka stress melayan kita sepanjang tempoh itu? Pasti stress dik..pasti stress. Apatah lagi jika pada waktu itu ramai lagi adik-beradik adik yang berusia hampir sebaya dengan adik; atau pada waktu itu mereka juga bekerja dan sering dibebani dengan masalah kerja mereka; atau pada waktu itu kewangan keluarga tidak begitu memberangsangkan.. Namun, pernahkah mereka tergamak membuang kita di tepi jalan kerana stress melayan dan membesarkan kita?
Pastinya tidak kan.. sebab kalau ya, tidak lah adik ada masalah yang sebegini. Dan apa yang menyebabkan mereka tidak pernah terlintas pun untuk membuang adik di tepi jalan ketika adik masih kecil? Tentunya kerana kasih sayang mereka yang amat tinggi kepada adik, yang jauh mengatasi rasa stress atau penat mereka melayan kerenah adik. Dan kerana Allah acknowledge pengorbanan mereka itu, Allah turunkan perintah berikut..
Firman Allah SWT maksudnya: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ah (uff) dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia". (Al Isra' 23)
Nah, sedangkan 'AH' pun kita tidak dibenarkan untuk ucap kepada kedua orang tua kita kerana telah banyak kasih sayang dan pengorbanan yang mereka curahkan pada kita. Maka, apakah kita tidak cukup sayangkan ibu bapa kita hinggakan kita sanggup untuk lari dari rumah?
Akak pernah membaca satu rencana bertajuk berfikiran positif, dan antara isinya adalah, sebagai contoh, jika anda merasa penat dengan keadaan rumah yang perlu dikemaskan, maka bersyukurlah kerana anda masih mempunyai rumah sebagai tempat tinggal. Jika anda penat mendengar leteran daripada orang sekeliling, bersyukurlah kerana anda masih mempunyai telinga yang boleh mendengar. dan kalau boleh akak kaitkan rencana itu dengan isu adik ni, ketahuilah bahawa jika adik penat dimarahi oleh ibu bapa adik, bersyukurlah kerana sesungguhnya, itu petanda adik masih mempunyai ibu bapa.
Akak teringat cerita seorang kawan akak. Neneknya baru sahaja kembali ke rahmatullah. Dan ibunya sering menyesal kerana tidak sempat nak membalas semua jasa neneknya itu wlwpun selama berpuluh tahun ibunya berbakti kepada neneknya sebagai seorang anak yang taat. Itu adalah luahan hati seorang anak yang taat berbakti. Kalau kita? Jangan tunggu sampai mereka hilang di dunia baru kita mahu menyesal.
Apa yang akak boleh cadangkan, adalah untuk adik mengelak daripada dimarahi. Apa yang akak faham dari masalah adik, adik dimarahi kerana tidak membuat/lambat membuat sesuatu tugasan yang mereka suruh. Maka, mungkin ada baiknya jika adik dapat senaraikan tugas rutin seharian adik yang ibu bapa adik selalu suruh buat. Sebagai contoh, pukul 6.30 petang, kain di jemuran sudah kena angkat dan dilipat. Pukul 7.15petang, dah siap mandi dan bersiap untuk solat maghrib. Pukul 8.30 malam, duduk di meja belajar untuk membuat kerja rumha dan ulangkaji. dan sebagainya... adik lebih tahu apa tugasan adik.
Kemudian, adik ikutlah jadual tugasan adik ni. Kalau pukul 6.30, adik terus keluar angkat kain di jemuran dan bawa masuk untuk lipat. Kerana adik tahu itu adalah tugasan harian adik. Tidak perlu untuk tunggu untuk mak atau ayah adik suruh. Kemudian pukul 7.15, tanpa perlu disuruh, adik sudah tutup television dan sudah pergi mandi dan bersiap untk solat maghrib. Pukul 8.30, adik terus ke meja belajar dengan sendirinya sebelum sempat ibu atau ayah adik bersuara. Dengan cara ini, adik dapat mengelakkan atau mengurangkan diri adik daripada dimarahi oleh ibu bapa adik.
Dan apabila ibu bapa adik nampak adik sudah pandai untuk jalankan tugasan adik dengan sendirinya tanpa perlu disuruh, mereka akan 'cool down'. Mereka pasti akan lebih percaya dan bergantung harap pada adik dalam urusan membantu mereka menyelesaikan kerja-kerja rumah. Maka, mereka akan tidak lagi memarahi adik, sekalipun sekali-sekala mungkin adik terlupa untuk membuat satu-satu tugasan.

Wallahualam. Inilah sedikit sebanayak yang dapat akak kongsi. Cuba adik mencuba dulu kaedah ini.. semoga ia berkesan kepada adik, dan semoga jiwa adik tidak lagi tertekan.
Sis Fafa/ Sis Hanani =)

No comments:

Post a Comment