Saya mempunyai seorang sahabat yang saya sudah kenal hampir dua tahun. Masalah saya ialah, kami selalu bercanggah pendapat dalam apa sahaja perkara. Sehinggakan saya rasa dah malas nak bertegur sapa. Kalau berjumpa di tengah jalan pun, tak rasa nak senyum sebab dia pun buat tidak tahu. Saya mahu hubungan kami rapat, tapi tak tahu bagaimana nak mula. Saya tak benci, tapi saya juga tidak menyenangi. Ada tak cara-cara bagaimana nak membina the so-called 'ukhuwwah fillah'.
-anonymous-
***************
Salam kepada adik anonymous..
Wah, soalan adik ini begitu mencabar sekali. Akak akan jawab soalan adik ni mengikut tema ye..
1) Bercanggah pendapat: Mempunyai teman yang sering bercanggah pendapat dengan kita memang terkadang agak merimaskan. Tapi akak nak bawa adik untuk memikirkan tentang suatu perkara ni. Apa agaknya yang menyebabkan kita dan teman kita ni bercanggah pendapat? Selalunya, pendapat seseorang banyak dipengaruhi oleh latar belakang keluarganya, cara seseorang itu dididik sejak kecil, pengalaman-penglaman yang dilalui seseorang sejak kecil. Perkara-perkara ni amat berbeza diantara setiap individu, dan terkadang, kalau kita cuba selami, kita akan sangat terkejut bagaimana kisah hidup dia amat berbeza sekali dengan perjalanan hidup kita. Terkadang kisah hidup mereka, kita fikir, hanya wujud dalam drama television; tidak pernah kita tahu bahawa kisah itu adalah realiti kehidupan masyarakat kini.
Bilamana kita cuba selami kisah silam teman kita itu, maka kita akan lebih faham mengapa cara dia berfikir, atau pun pendapat-pendapat yang dilontarkannya sebegitu. Dan kalau kita cuba kenang kembali cara kita dibesarkan, dan kaitkan dengan cara kita berfikir tentang sesuatu, maka kita akan sedar perkaitannya. Akak sendiri pun, pernah mempunyai teman yang bagi akak, cara dia bawa diri, cara dia berhibur, cara dia berfikiran..sangat pelik. Tapi pelik dalam erti kata, ia berbeza dengan cara akak, dan akak tak pernah jumpa lagi orang yang sepertinya. Dia seorang yang, pada pandangan akak, berjiwa keras, amat berdikari, kurang ambil peduli urusan orang lain dan apabila satu topik dibicarakan, sudut pandangannya 180 darjah bertentangan dengan pendapat akak. Tapi bila akak selami kisah hidupnya, rupanya dia merupakan anak yatim sejak kecil, yang keluarganya sering dicemuh oleh sanak saudara lain yang sering iri hati dengan mereka sekeluarga. Lantas, dia membesar dengan memupuk jiwa yang sedemikian rupa. Pendapat yang dilontarkan banyak dipengaruhi oleh masa silamnya. Akak pula, dibesarkan dalam keluarga yang senang, tiada maslah keluarga, cukup sifatnya.
Adik, bilamana kita memahami sejarah hidup sahabat kita, maka kita akan lebih memahami dia, perangai dia dan cara dia berfikir. Dan, menjadi orang yang bijak, kita akan menghargai pandangannya, kerana itu adalah sudut pandangan dari seseorang yang melalui jalan hidup yang tidak sama seperti kita. Kita juga akan lebih berlapang dada dengan perangainya, kerana kita sedar bahawa itu hasil didikan masa silamnya. Tidak mengapa seandainya dia tidak mampu nak memahami kita, tapi biarlah kita yang beralah dan memahami dia. Kerana beralah tidak bermaksud kita salah mahupun kita kalah. Tapi beralah, dan belajar dari sudut pandangan orang lain bermaksud kita seorang yang bijak, berilmu dan berfikiran terbuka. Bila kita mampu berfikiran sebegini, maka kehidupan kita akan lebih tenang, kerana kita tidak akan bersengketa dengan orang lain. Dan dengan cara ini, kita menyediakan diri kita untuk berhadapan dengan masyarakat di luar sana yang lebih pelbagai ragamnya.
Adik, dalam proses ini, terkadang kita akan rasa sedih, kerana seolah-olah hanya kita yang perlu memahami orang lain, walhal orang lain tak memahami kita. Tapi takpe dik. Tanamkan dalam diri kita bahawa, Allah knows. Dan setiap pengorbanan kita itu akan dikira. Dan yakinlah, seperti mana kita melayan orang lain, seperti itulah layanan yang kita akan terima kembali. =)
2) Bermasam muka dan saling tidak menegur: Bila isu ini pula timbul, satu persoalan yang perlu adik lontarkan pada diri adik adalah, siapakah yang bermasalah sekarang ini. Adakah kita yang tidak mahu menegur dia, ataukah dia yang tidak mahu menegur kita? Seandainya dia yang tidak mahu menegur kita, di pihak kita, tidak banyak yang dapat kita lakukan. Jika kita bersalah terhadapnya, cuba 'slow-talk' dengannya, dan mohonlah maaf atas apa-apa kesalahan yang pernah adik lakukan kepadanya. Namun, jika dia yang ada masalah dengan kita, cekalkanlah hati untuk tetap senyum dan bertegur sapa, walaupun kita tahu bahawa kita akan mendapat balasan yang dingin sahaja daripadanya. Seandainya kedinginannya hanya menyakitkan adik, maka tidak perlulah untuk adik bertegur, tapi cukuplah sekadar senyum dan angguk kecil dari jauh -andai dia perasan. Namun, tetaplah berdoa agar dilembutkan hatinya, dan Allah menyatukan kalian.
Tapi jika masalah itu dari dalam diri kita, maka kita perlu selesaikannya sendiri. Kenal pasti apa punca kita tidak mahu bertegur sapa dengan sahabat kita itu. Jika sebabnya adalah kerana percanggahan pendapat seperti yang akak tulis di atas, maka harapnya, dengan penjelasan di atas itu mampu untuk menyejukkan hati adik untuk bertegur sapa dengannya kembali. Tapi seandainya ada sebab-sebab lain, seperti mungkin perasaan iri hati dalam diri kita terhadap dia, maka buanglah rasa itu, dan jernihkanlah kembali persahabat kalian. Ya, ia tidak mudah, dan dari pengalaman akak sendiri, ia mengambil masa yang amat lama. Dalam proses itu, kita mungkin akan membenci diri kita sendiri kerana tak mampu nak berlapang dada dengan sahabat kita itu. Tapi jangalah adik putus asa. Teruskan berdoa agar hati adik dilembutkan, bacalah doa rabitah, serta terus kan usaha untuk merapatkan kembali hubungan adik dengan dia.
3) Memupuk ukhuwah fillah: Perkataan 'ukhuwwah fillah' itu sendiri bermaksud kita berukhuwah kerana Allah. Yang juga bermaksud, bahwa, sebab kita berukhuwah dengan seseorang itu adalah kerana persamaan bahawa kita berdua menyembah tuhan yang sama, dan kerana Allah menyuruh kita berukhuwah.
Ukhuwah fillah tidak sama seperti persahabatan2 duniawi yang lain. Bilamana kita rapat dengan sahabat-sahabat kita yang lain, sejauh manakah kita yakin bahawa ukhuwah antara kita dan sahabat kita itu kerana Allah? Terkadang tanpa kita sedar, ukhuwah antara kita lebih didasarkan kepada latar belakang kehidupan yang sama; sebagai contoh kita dari negeri yang sama, kita dari college atau sekolah yang sama. Mungkin juga kita berukhuwah dengan orang itu kerana kita room mate atau kita mengambil mata pelajaran atau jurusan yang sama. Mungkin juga kerana kita mempunyai hobi atau minat yang sama. Lantas perkara-perkara ini yang menautkan hati kita dengan sahabat kita. Lalu jadilah antara kalian ukhwah badminton, atau ukhuwah roomate, atau ukhuwah pelajar aliran sains. Tapi bila hati kita dah bersatu kerana perkara-perkara lain, terkadang ia lebih mudah untuk ditalakan agar bersatu kerana Allah. Kerana kita sudah pun belajar untuk saling menerima, kita sudah pun menyenangi sahabat kita itu; hanya dasar persahabatan sahaja yang perlu diperbetulkan.
Namun, untuk kita berukhuwah dengan seorang yang bukan setakat tiada persamaan dengan kita, malah sering bercanggah pula pendapatnya dengan kita.. ia tidak mudah. Sungguh, ia tidak mudah. Namun, di sinilah istilah 'ukhuwah fillah' itu akan teruji. Mampukah kita untuk menepikan segala perbezaan antara kita dan sahabat kita itu, kerana Allah? Mampukah kita untuk berlapang dada, dan menerima dia seadanya, kerana Allah? Jika anda mampu, maka itulah dia ukhuwah fillah. Ia tidak mudah; itu suatu kepastian. Tapi jika adik teliti betul-betul, kalian ada satu persamaan. Adik dan dia mentauhidkan Tuhan yang satu. Adik dan dia yakin bahawa Allah lah pencipta alam ini, daripadaNya kita datang dan kepadaNya kita akan kembali. Adik dan dia tahu bahwa hanya islam agama yang benar di jalan ini. Maka, di atas persamaan ini, persamaan akidah yang amat utuh ini, bersatulah kalian.
Akak minta maaf kerana memberi ulasan yang panjang lebar,namum akak harap akak telah menjawab persoalan adik. Jika ia tidak menjawab, atau adik ada soalan-soalan lanjut, silakan bertanya ye.. =)